Kamis, 27 Februari 2014

Banduan Hidup dalam penjara Indonesia mesti ada wang

RABU, 14 MAC 2012



BACHOK – Setelah lebih tiga tahun dipenjarakan di Medan, Sumatera Utara, Indonesia kerana didapati bersalah menangkap ikan seberat 20 kilogram di perairan Indonesia, nelayan Malaysia, Ibrahim@Awang Pa Deraman akhirnya pulang ke tanah air.

Walaupun perasaan gembira jelas terpancar pada riak wajahnya, namun dia tidak dapat melupakan pengalaman serta keperitan ketika meringkuk di dalam penjara.

Ibrahim, 58, berkata, sepanjang di penjara, dia sentiasa dilayan baik pihak penjara Indonesia dan tidak ada kekerasan berlaku terhadapnya.

“Dalam tahanan semuanya perlu menggunakan wang kerana pegawai di sana berniaga apa sahaja untuk mendapatkan wang. Kalau tiada wang, ertinya berlaparlah kami dalam penjara kerana mereka hanya bekalkan nasi beras hancur tanpa lauk.

“Sekali sekala ada juga sa­yur atau sekeping daging sebesar ibu jari diletakkan dalam pinggan sebagai lauk. Azabnya ALLAH sahaja yang tahu sepanjang berada dalam tahanan. Alhamdulillah saya amat bersyukur berkat doa keluarga dan sahabat, saya dibebaskan lebih awal berbanding tempoh sebenar,” katanya kepada wartawan, semalam.

Ibrahim dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh mahkamah di Medan pada 2009 dan denda Rp2 bilion (RM700,000) atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu, setelah didapati bersalah menangkap ikan di wilayah Indonesia di tengah-tengah perairan Selat Melaka pada 25 Januari 2009.

Dia dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman penjara empat tahun setelah Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berusaha mendapatkan kelulusan remisi (pengurangan masa tahanan) terhadap hukuman itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar